aura insani Hidayatullah ::.::.:: Graha Glest, Jl. Utama Ujung 334 Komp. P&K Cipondoh Indah Tangerang Banten Indonesia 15148 ::.:.::... Donasikan sebagian rezeki anda di Donasi aura insani ::::... Info Donasi Hubungi Via SMS, Telp, Whatsup : 087808999682 atau 087871749872...:::..Terima Kasih Atas Donasinya untuk kelangsungan Situs aura insani

Sujud adalah salah satu rukun fi‘li (perbuatan) daripada rukun-rukun dalam sembahyang. Menurut sesetengah kitab seperti Mughni al-Muhtaj dan Hasyiah I‘anah ath-Thalibin, sujud merupakan rukun yang ke tujuh dalam sembahyang.
Sujud dalam sembahyang merupakan fardhu berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Firman Allah Ta‘ala  dalam surah al-Hajj:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-Hajj: ayat 77)
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang, maka bertakbirlah, kemudian bacalah sesuatu yang mudah yang ada bersama kamu dari al-Qur’an. Kemudian ruku‘lah sehingga kamu thuma’ninah dalam ruku‘. Kemudian bangunlah (dari ruku‘) sampai kamu tegak berdiri (i‘tidal). Kemudian sujudlah sehingga kamu thuma’ninah  dalam sujud. Kemudian bangunlah (dari sujud) sampai kamu thuma’ninah dalam duduk. Dan lakukanlah demikian itu  dalam setiap sembahyangmu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan thuma’ninah ketika sujud itu ialah hendaklah setiap satu daripada anggota sujud itu tetap seketika pada tempatnya. Jumhur mengatakan adalah wajib thuma’ninah ketika sujud berdasarkan hadis di atas. Menurut sebilangan ulama, kadar masa thuma’ninah ketika sujud itu ialah kadar bacaan satu tasbih sujud iaitu:
Berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan hadis, maka ulama sepakat mengatakan bahawa sujud itu adalah fardhu dalam sembahyang.
Makna Sujud
Sujud dari segi bahasa antaranya bermaksud merendahkan diri; menundukkan kepala; hina (merendahkan kedudukan); miring (condong) ke suatu tempat dan meletakkan dahi ke bumi. Maka perbuatan sujud seseorang itu ialah bilamana dia menundukkan atau merendahkan kepalanya ke hadapan dan membongkokkan badannya ke bawah (tanah).
Sebagai tambahan, sujud yang bermaksud merendahkan diri dan menundukkan kepala sebagaimana sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri penghormatan) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: ayat 34)
Ulama telah sepakat bahawa sujud yang diperintahkan ke atas para malaikat kepada Nabi Adam itu bukanlah sujud ibadat. Ini kerana melakukan sujud selain kepada Allah Ta‘ala membawa kepada kufur.
Manakala makna sujud dari segi syarak ialah menyentuh sebahagian dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud, samada tempat sujud itu tanah atau selainnya. Adapun bilangan sujud dalam sembahyang itu ialah sebanyak dua kali dalam setiap rakaat.
Anggota Sujud
Anggota sujud itu ada tujuh sepertimana yang telah disebutkan dalam hadis shahih yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
  
Maksudnya:Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang, iaitu: pada dahi dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki….”
 (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tertib Sujud
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, sunat melakukan sujud itu dengan meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan kedua tangan, kemudian dahi dan hidung. Sekiranya dia meletakkan kedua tangannya dahulu sebelum kedua lututnya, maka itu adalah memadai cuma dia meninggalkan sunat hai’at. Ini berdasarkan kepada hadis Wa’il bin Hujr dia berkata:
  
Maksudnya: Saya melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika Baginda sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua tangan Baginda. Dan jika Baginda bangun (dari sujud), Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda.”
 (Hadis riwayat Abu Daud)
 
Menurut at-Tirmidzi, al-Khathabi dan al-Qadhi Abu ath-Thayyib dalam kitab al-Majmu‘, tertib cara inilah yang disepakati oleh jumhur ulama. Sementara itu Ibnu Mundzir juga berpendapat demikian.
Menurut asy-Syaikh al-Baijuri, beginilah tertib sujud yang akmal (lebih sempurna). As-Sayyid al-Bakri pula mengatakan adalah makruh menyalahi tertib sujud yang telah disebutkan di atas.
Demikian secara ringkas dijelaskan mengenai hukum sujud dalam sembahyang, anggota sujud dan tertibnya. Adapun penjelasan selepas ini mengenai sujud hanya akan ditumpukan kepada salah satu daripada anggota sujud sahaja, iaitu dahi.
Hukum Sujud Pada Dahi
Hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa perselisihan ulama dan lebih awla (baik) jika seseorang itu sujud pada keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana yang dituntut ketika sujud itu ialah menyentuh sebahagian dahi seorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujud. Namun jika kurang dari itu, maka itu adalah memadai dan hukumnya adalah makruh (karahah tanzih). Inilah perkataan Imam asy-Syafi‘e dalam kitab al-Umm dan juga pendapat para ulama Syafi’e. Maksud karahah tanzih itu ialah perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya, akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya tidak berdosa hanya khilaf al-awla (menyalahi yang utama).
Oleh kerana itu, jika dia sujud pada jabin, iaitu tepi dahi; atau pipi; atau pelipis, iaitu bahagian di antara mata dengan telinga; atau pada atas kepala; atau pada hidungnya sahaja dan dia tidak meletakkan sebahagian apa pun daripada dahinya pada tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu adalah tidak memadai. Beginilah juga yang dinashkan dalam kitab al-Umm.
 
Di samping itu, tidak memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada dahi tersebut.
 
 
 
 
Sujud Pada Dahi Yang Tertutup
Berkata Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dan para ulama Syafi‘e: “Wajib dibuka (yakni tiada ditutup) kawasan dahi supaya dahi itu bersentuhan secara langsung dengan tempat sujud.
Kewajiban membuka kawasan dahi ini berdasarkan hadis Khabab bin al-Art, dia berkata:
 Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
 
Jika sekiranya dahi itu tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengizinkan mereka menutupnya. Berdasarkan itu, maka tidak sah sujud pada dahi yang tertutup sepertimana contoh-contoh berikut:
·       Sujud pada dahi yang tertutup oleh topi atau songkok, maka tiada sah sujud.
·       Sujud pada rambut yang jatuh menutupi dahi, maka tidak sah sembahyang. Berlainan dengan rambut yang tumbuh pada dahi, maka itu tidak mengapa kerana rambut itu umpama kulit.
·       Sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri atau sujud pada gulungan hadapan serban juga tidak sah sembahyang tanpa percanggahan ulama.
Sujud Pada Dahi Yang Terhalang Oleh Ha’il (Lapik)
Pada kebiasaannya, seseorang yang sembahyang itu akan sujud dengan meletakkan dahinya pada suatu tempat sujud seperti atas sejadah atau seumpamanya.
Namun apabila seseorang itu sujud pada ha’il, iaitu sesuatu lapik yang menghalang dahi dari menyentuh tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu tidaklah memadai.
 
Adakah Sah Sujud Di Atas Ha’il (Lapik)?
Hukum sah atau tidak perbuatan sujud di atas ha’il itu berbeza mengikut keadaan ha’il tersebut, samada ha’il itu ditanggung, iaitu dengan cara malbus (dijadikan pakaian) ataupun tidak ditanggung. Kemudian ha’il yang dijadikan pakaian itu, adakah ia bergerak mengikut perbuatan mushalli (orang yang sembahyang) ataupun tidak. Penerangannya adalah seperti berikut:
1. Ha’il Yang Dijadikan Pakaian Oleh Mushalli
Contoh dan hukum sujud di atas suatu lapik yang malbus, iaitu yang dijadikan pakaian, ada dua keadaan:
a.     Pakaian Yang Turut Bergerak Dengan Perbuatan Mushalli
Misalnya hujung baju atau hujung serban dan kedua-dua hujung baju dan serban tersebut bergerak dengan perbuatan mushalli semasa berdiri dan duduk atau selain dari berdiri dan duduk. Maka jika dia sujud di atas hujung baju atau serban tersebut, ulama sepakat mengatakan tidak sah sembahyangnya. Begitu juga hujung selendang pada bahu.
b. Pakaian Yang Tidak Bergerak Dengan Perbuatan Mushalli
Misalnya hujung pakaian atau hujung serban yang terlalu panjang yang tidak bergerak mengikut perbuatan mushalli, maka itu tidak mengapa dan menurut qaul shahih sembahyangnya adalah sah. Ini adalah kerana pakaian yang terlalu panjang tadi dihukumkan seperti sesuatu yang munfashil (tidak bersambung) dengan mushalli.
Menurut al-Khatib, jika seseorang itu sembahyang dalam keadaan duduk lalu dia sujud atas pakaian yang tidak bergerak dengan perbuatannya dalam hal keadaan dia sembahyang duduk, sedangkan jika dia sembahyang berdiri nescaya pakaian itu bergerak, maka itu tidak mengapa. Demikianlah juga menurut Ibnu Hajar al-Haitami: sah sembahyangnya.
Bagaimana pula perbuatan mushalli yang menyebabkan sesuatu pakaian yang dipakai itu bergerak? Mengikut Ibnu Hajar al-Haitami memadailah pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli ketika sembahyang dan bukannya dengan kekuatan.
Jika dia sujud di atas ha’il dengan senghaja dan mengetahui tentang haramnya, maka batal sembahyangnya. Adapun jika dia lupa atau lalai, maka tidak batal sembahyangnya akan tetapi wajib dia mengulangi sujudnya tadi.
2. Ha’il Yang Munfashil Dari Mushalli  
Maksud munfashil di sini adalah sesuatu yang tidak bersambung dengan mushalli dan tidak ditanggung olehnya. Berikut diberikan contoh ha’il yang munfashil dan hukum sujud di atasnya:
·       Sujud di atas tangan orang lain adalah sah kerana tangan tersebut bukan mahmul (ditanggungnya).
·       Sujud di atas hujung baju atau hujung serban orang lain adalah sah, begitu juga sembahyangnya sah, jika ada ciri perbuatan sujud.
·       Begitu juga sujud di atas tongkat atau saputangan yang ada ditangannya.  Akan tetapi tidak sah sujud jika saputangan itu ada pada serban atau pada leher kerana ia adalah malbus (menjadi pakaian) bagi mushalli.
·       Jika pada tempat sujudnya itu ada sehelai daun, kemudian dia sujud di atasnya. Ketika dia mengangkat dahi daripada sujud, daun itu masih terus melekat pada dahinya. Dalam keadaan ini, sujud yang pertama adalah sah. Namun daun tersebut wajib dibuang atau ditanggalkan pada sujud yang kedua. Jika tidak ditanggalkan, maka tidak sah sujudnya yang kedua itu.
Jelasnya, ha’il itu jika tidak ditanggung oleh mushalli, sekalipun ia bergerak mengikut pergerakan mushalli, maka ia tidak memberi kesan ke atas sahnya perbuatan sujud. Sebagai contoh, seseorang sujud di atas katil yang bergerak ketika dia sembahyang, maka ini tidak mengapa kerana katil itu bukan ditanggungnya. Yang memberi kesan pada sah atau tidak perbuatan sujud itu ialah kembali kepada ha’il yang ditanggungnya.
Mengangkat Dahi Ketika Sujud
Jika seseorang sujud di atas sesuatu (benda atau permukaan) yang kasar yang menyakiti dahinya, lalu dia menjauhkan, memindahkan atau menggerakkan dahinya daripada tempat sujud tadi tanpa mengangkat dahi tersebut, maka perbuatan ini tidak mengapa.
Walau bagaimanapun hukum berulangkali mengangkat dan meletakkan dahi ketika sujud kerana sesuatu sebab atau keuzuran, misalnya sujud pada permukaan yang kasar yang menyakiti dahi, dilihat dari dua keadaan, iaitu:
1. Mengangkat Dahi Sebelum Adanya Thuma’ninah
Jika dia terus mengangkat dahinya itu dari tempat sujud yang disebutkan di atas sebelum ada thuma’ninah, maka perbuatannya itu tidak mengapa.
2. Mengangkat Dahi Setelah Adanya Thuma’ninah
Adapun jika keadaan sebaliknya, yakni sesudah thuma’ninah, maka perbuatan mengangkat dahi dan meletakkannya berulang kali boleh membatalkan sembahyang kerana melebih-lebihkan bilangan sujud.
Maka dapat difahami bahawa perbuatan mengangkat dahi dan mengembalikannya semula ke tempat sujud tanpa sebarang keuzuran atau sebab boleh membatalkan sembahyang secara mutlak.
Meletakkan Hidung Ke Tempat Sujud
Hukum meletakkan hidung bersama-sama dengan dahi ketika sujud hanyalah sunat. Sunat juga meletakkan dahi dan hidung secara serentak tanpa mana-mana anggota yang dua ini mendahului ke atas satu yang lain.
 
Sebaliknya jika dia sujud dengan hanya meletakkan hidung sahaja, tanpa sedikit pun menyentuh mana-mana bahagian daripada dahi, maka tidaklah memadai sepertimana yang telah diterangkan terdahulu.
Sebagai kesimpulan sujud merupakan rukun fi‘li (perbuatan) dan fardhu dalam sembahyang. Ulama sepakat bahawa hukum sujud pada dahi yang terbuka, yakni tiada tertutup, adalah wajib. Maka sujud pada dahi yang tertutup oleh ha’il (halangan atau lapik) adalah tidak sah. Contohnya tidak sah sujud di atas songkok yang menutupi dahi dan yang seumpamanya seperti serban atau rambut. Begitu juga tidak sah sujud dengan meletakkan dahi di atas tangan sendiri.
Hukum sujud pada dahi yang terhalang oleh lapik yang ditanggung, iaitu yang dijadikan pakaian, tergantung samada pakaian itu bergerak dengan perbuatan mushalli dalam sembahyang ataupun tidak. Secara ringkas, sujud di atas pakaian yang bergerak dengan perbuatan mushalli adalah tidak sah. Sujud di atas pakaian yang disebutkan tadi, jika dilakukan tanpa senghaja atau kerana lalai dan lupa, maka wajib mengulangi sujud sahaja tanpa membatalkan sembahyang. Sebaliknya jika dilakukan dengan senghaja dan mengetahui tentang ketidakharusannya, maka batal sembahyangnya.
Manakala sujud di atas pakaian yang terlalu panjang yang tidak bergerak dengan perbuatan mushalli adalah sah. Begitu juga dengan ha’il yang munfashil, iaitu yang tidak ditanggung atau tidak dijadikan pakaian, maka sah sujud di atasnya.

Posting Komentar

..::: Jazzakumullah Khoiron Khatsiro..., Kami Ucapkan Kepada Para Donatur Yang Telah Menyisihkan Sebagian Hartanya Untuk Lembaga Kemanusiaan aura insani Hidayatullah...,Semoga Amal Para Donatur di terima dan dilipat gandakan oleh Allah SWT serta mendapakan keberkahan dan Manfaat yang luar biasa.Amin Yaa Robbal 'alamin.

Recent Comments

 
Top